Latest News


More

Ketua masyarakat disaran gunakan ICT

Posted by : OM on : Dec 14, 2009 0 comments
OM
Saved under :
KUCHING: Ketua-ketua masyarakat di negeri ini disaran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam mengurus serta memimpin kawasan di bawah pentadbiran masing-masing.Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof berkata penggunaan ICT dalam urusan pentadbiran harian ketua-ketua masyarakat seperti penghulu, ketua kampung dan tuai rumah penting sejajar dengan tuntutan semasa.

“Pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi di kalangan ketua-ketua masyarakat merupakan suatu yang penting dan harus dimiliki untuk memudahkan mereka memperolehi dan mendapatkan maklumat daripada Internet.

“Jadi wajarlah ketua-ketua masyarakat memiliki ilmu dalam bidang ICT agar tugas dan peranan mentadbir di bawah tanggunjawab mereka dapat dijalankan dengan berkesan,” kata Fadillah.

Menurut beliau, menerusi kemudahan ICT, proses perhubungan di antara masyarakat di bawah pentadbiran dengan pemimpin masyarakat juga lebih senang dan berkesan.

“Kita sebagai pemimpin masyarakat mempunyai tugas-tugas yang banyak dalam menguruskan segala urusan pentadbiran dan perkara tersebut menyukarkan rakyat atau masyarakat di bawah pentadbiran kita untuk berjumpa dan berhubung dengan kita.

“Oleh yang demikian penggunaan kemudahan seperti ‘facebook’ misalnya memudahkan masyarakat setempat berhubung dengan kita dengan hanya menghantar maklumat seperti gambar, aduan dan sebagainya menggunakan kemudahan tersebut tanpa perlu menunggu untuk berjumpa dengan kita,” jelas Fadillah.

Tambah Fadillah lagi, menerusi penggunaan ICT segala urusan dokumen dan pengumpulan maklumat dapat dilakukan dengan lebih sempurna dan lengkap.

Namun demikian tidak dinafikan ada sebilangan pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan kemudahan tersebut dengan menghantar fitnah, propaganda yang tidak sepatutnya melalui Internet.

Justeru itu, Fadillah berkata, untuk menjadi seorang pemimpin berkualiti, mereka harus peka dan tahu banyak maklumat, fakta, informasi yang tepat agar dapat membezakan maklumat dan fakta yang salah dengan betul.

“Pemimpin merupakan penghubung di antara masyarakat setempat dengan kerajaan. Selain itu, pemimpin juga merupakan penyampai maklumat dan informasi kepada masyarakat.

“Dan adalah penting bagi pemimpin untuk mengetahui sesuatu fakta, perkara yang betul dan tepat agar dapat menyampai dan menerangkan sesuatu perkara sebenar kepada masyarakat di bawah pantadbirannya,” ujarnya.

Beliau yang merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ketua Ketua Masyarakat Melayu Bahagian Kuching (PKKMMBK) 2009 memberitahu terdapat pelbagai program dianjurkan oleh Pejabat Residen dan Pejabat Daerah untuk para pemimpin masyarakat memperolehi dan mempelajari ilmu ICT agar dapat meningkatkan kemahiran untuk pengurusan, pentadbiran mahupun menangani keadaan semasa.

Kira-kira 100 ketua-ketua kampung, pemimpin masyarakat menghadiri mesyuarat tersebut dan Fadillah turut menyumbang RM5,000 kepada PKKMMBK pada majlis tersebut.

Article printed from The Borneo Post Online: http://www.theborneopost.com
URL to article: http://www.theborneopost.com/?p=64342
Posted By rajlira On 14th December 2009 @ 14:42 In Tempatan
Saved under :

No comments:

Leave a Reply