KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia 3 Disember 2009 bertajuk Fokus pada mengajar murid-murid, bukan buat kerja pentadbiran: Erti sebenar guru cemerlang.
Kenyataan 'Guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh pengetua atau guru besar mereka', adalah ucapan saya semasa perasmian konvensyen guru baru, IPGM yang berjumlah lebih daripada 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.
Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.
Kenyataan Akmal Fairuz dalam Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009 tentang tugas profesional guru dan tugas pentadbiran masih boleh dipersoalkan. Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa atau penjaga adalah sebahagian daripada tugas profesional guru.
Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka. Makluman ini bukan sahaja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa atau penjaga.
Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tugas guru untuk mendidik setiap individu murid bagi mencapai objektif pendidikan.
Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.
Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan keperluan murid.
Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan serta lain-lain aktiviti luar darjah.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhasrat untuk memperkasakan sukan dan permainan di sekolah bagi tujuan melahirkan atlet muda. Hal ini sudah tentulah memerlukan komitmen para guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid-murid.
Oleh itu, latihan sebegini merupakan juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.
Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik dalam kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua atau guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain daripada urusan pentadbiran yang biasa.
Guru mempunyai kelebihan daripada aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak atau remaja dan kepakaran dalam pedagogi.
Maka semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.
Berkaitan dengan pandangan Akmal Fairuz bahawa guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah sahaja tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Ini disebabkan mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara yang melibatkan pendidikan dan melahirkan modal insan.
Tidak salah guru berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua atau Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) hinggalah ke peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.
Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat, selaras dengan gagasan '1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Utusan Malaysia, Forum, 7 Disember 2009
Guru wajar dilibatkan tugasan lain
SAYA merujuk kepada surat saudara Akmal Fairuz bertajuk Erti sebenar guru cemerlang yang disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009. Luahan beliau memaparkan rasa tidak puas hati diri sendiri dengan cuba memperbesarkan beberapa isu remeh yang menunjukkan beliau kurang jelas tentang peranan seseorang guru, peranan Kementerian Pelajaran, peranan pengurus sekolah, peranan pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), malah peranan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Beliau menyebut hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugas sebenar. Saya tidak pasti dari manakah fakta ini diperoleh atau itu merupakan dapatan kajian beliau yang boleh diperakukan. Semua yang bergelar guru tentu maklum bahawa tugas utama atau guru adalah mengajar.
Tetapi ini tidak bererti guru tidak boleh melibatkan diri atau dilibatkan dengan pelbagai tugasan lain. Masih lagi terngiang-ngiang di telinga saya tentang kata-kata seorang pensyarah semasa saya masih di Maktab Perguruan (sekarang IPGM) lewat tahun 70-an dahulu; ''Guru adalah segala-galanya''. Ungkapan keramat itulah yang menjadikan kami menghayati peranan dan pengorbanan sebagai guru.
Melaksanakan tugasan lain bukan bererti ia perlu dibuat sehingga mengabaikan tanggungjawab masuk ke kelas untuk menyempurnakan pengajaran dan pembelajaran (P&P). Guru perlu bijak mengimbangi masa dan kepelbagaian tugasan kerana ia bukan sahaja memberikan seseorang guru itu pengalaman yang berharga bahkan dapat meningkatkan pelbagai kemahiran dalam melaksanakan tugasan lain.
Erti guru yang sebenar ialah guru yang bijak mempelbagaikan potensi serta kebolehan diri baik dari aspek P&P mahupun tugas sampingan yang diamanahkan kepadanya. Memang terdapat guru yang hanya pandai merungut dan menolak tugasan lain yang diberikan tetapi adakah guru seperti ini menolak kenaikan pangkat secara time-based setelah 10 tahun berkhidmat?
Bagi saya Kementerian Pelajaran Malaysia amat peka dengan beban tugas guru kerana saya juga terlibat secara langsung dalam 'Wacana Beban Tugas Guru' yang turut dihadiri sepenuhnya oleh Timbalan Menteri Pelajaran tidak lama dahulu.
Penambahbaikan
Hakikatnya kerajaan, melalui Kementerian Pelajaran Malaysia, sentiasa melaksanakan penambahbaikan demi memartabatkan guru dan pendidikan. Contohnya meningkatkan norma perjawatan guru dalam pelbagai aspek tugasan dari masa ke semasa.
Barangkali saudara masih baru sebagai guru atau sebagai orang muda yang kurang sabar melihat perkembangan yang pada saudara perlu dilaksanakan dalam sekelip mata. Ingatlah sahabatku, organisasi pendidikan adalah organisasi yang terbesar dalam perkhidmatan awam.
Jika dibandingkan laluan kerjaya atau seorang guru yang mula mengajar pada tahun 70-an dan sebelumnya dengan era guru 90-an hingga kini, memang ternyata ia berbeza. Saban tahun ramai yang memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).
Ada antara mereka dari kalangan jurutera, bidang guaman dan sebagainya yang ingin menempatkan diri sebagai pendidik sedangkan tawaran yang dapat diberikan tidak sebesar jumlah yang memohon. Jelas profesion guru tetap menjadi rebutan ramai.
Beberapa tuduhan yang mempertikaikan kebolehan seseorang guru seperti 'bestari', 'cemerlang' dan 'pakar' amatlah tidak bertanggungjawab. Proses melantik seseorang Guru Cemerlang bukanlah sesuatu proses yang boleh dibuat secara semberono. Selain permohonan rasmi oleh seseorang guru itu sendiri, perakuan dan sokongan daripada pentadbir sekolah, penilaian oleh rakan-rakan guru serta warga sekolah dan penilaian oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti baru boleh memartabatkan seseorang guru itu sebagai Guru Cemerlang.
Saudara tentu tahu bidang kecemerlangan seseorang Guru Cemerlang atau Guru Pakar. Guru juga banyak ruang dan peluang untuk menambah ilmu di dada dengan mengikuti program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan menyertai program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) sehingga ke tahap Doktor Falsafah. Kita tidak seharusnya memberi pandangan berasaskan pengalaman singkat, pengetahuan dan ilmu yang cetek dan jangan sekali-kali berasaskan emosi.
Sewajarnyalah seseorang guru itu, berdasarkan pengalaman, ilmu dan kebolehan memimpin, diberi penghormatan serta kepercayaan menjadi pemimpin organisasi pendidikan samaada sebagai Ketua Panitia Mata Pelajaran, Ketua Bidang, Guru Kanan Mata Pelajaran, Ketua Jabatan, Guru Penolong Kanan, Pengetua, Guru Besar, Pegawai Pelajaran Daerah, Pengarah Pelajaran hatta sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Kecemerlangan
Mereka inilah yang memartabatkan dunia pendidikan sehingga terjelma Sekolah Cemerlang, Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi atau setidak-tidaknya meningkatkan peratus kecemerlangan pelajar dan sekolah dalam peperiksaan awam di seluruh negara.
Kedinamikan arena pendidikan memerlukan guru yang serba boleh. Arah tuju pendidikan masa kini adalah ke arah melahirkan modal insan yang terbilang dan berminda kelas pertama.
Marilah kita hayati sepenuhnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, rungkaikan apa yang tersirat dan apa yang tersurat. Akhir kata, tugas mendidik ke arah 'kemenjadian' seseorang pelajar itu bukanlah terletak semata-mata di atas bahu guru semata-mata, bahkan melibatkan institusi keluarga dan juga masyarakat secara langsung.
ALZAMAN, Pulau Pinang, Utusan Malaysia (Forum) 7 Disember 2009
Flickr Photo Stream
Selected News
Selected News
No comments: